Monday 13 February 2012

SENJATA & PETUNJUK DARI AL-QURAN

Senjata adalah alat terpenting dalam peperangan. Dalam Al-Quran, Allah menyebutkan tentang besi yang dikurniakan kepada manusia bukan sahaja untuk dimanfaatkan oleh mereka bagi tujuan-tujuan duniawi tetapi juga untuk dijadikan alat senjata untuk mempertahankan agama Allah.

“Dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handal itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulNya padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Al-Hadid:25) …

Kehebatan besi telah lama disedari oleh manusia bermula dari zaman batu hinggalah ke zaman serba canggih dan moden pada hari ini. Di kalangan bangsa Arab, pedang yang ramuan utamanya adalah besi, merupakan senjata yang paling dimuliakan/dihormati dan paling banyak digunakan dalam peperangan. Orang-orang Arab amat menjaga pedang mereka dan hampir setiap ketika, tersisip gagah di sisi mereka. Malah, kemuliaannya juga terserlah dalam syair-syair mereka yang penuh dengan puji-pujian terhadap pedang yang memiliki ratusan nama khusus baginya.

Dalam Islam, kelebihan pedang, khususnya yang digunakan oleh pejuang-pejuang Islam untuk menegakkan agama Allah, sudah cukup digambarkan dengan sabda Rasulullah SAW; “Syurga adalah di bawah bayangan mata pedang”.

Dalam pertempuran, pedang merupakan senjata terakhir yang akan digunakan setelah senjata-senjata jarak jauh seperti panah, tombak dan sebagainya digunakan. Bermakna, setelah kedua-dua pihak saling berhadapan, mula bercampur-baur, maka senjata jarak dekat seperti pedang adalah pertahanan terakhir seseorang pejuang di medan jihad.

Begitulah juga kebiasaan di kalangan pahlawan Melayu dahulu kala dengan kerisnya. Ia ibarat irama dan lagu; tidak boleh dipisahkan. Keris akan sentiasa tersisip kemas ibarat teman setia kepada tuannya dan sedia bila-bila masa berkhidmat bila diperlukan.

Rasulullah SAW sendiri mempunyai beberapa bilah pedang, tombak dan baju besi sebagai persediaan teknoloji (pada masa itu) dalam waktu senang, mahupun susah. Tradisi orang-orang lelaki Melayu dahulu juga memiliki senjata peribadi dalam menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman pihak musuh.

Persoalannya ialah pada hari ini … ada yang beranggapan tak perlu persediaan senjata-senjata tradisi ini semua. Alasan termudah ialah kerana abad ini adalah era pistol, mesin gun, bazooka, bom dan sebagainya. Kalau belajar silat atau martial art pun bakal tewas dengan senjata api yang tak kenal erti kawan dan lawan. Persoalaannya, benarkah alasan sebegitu? InsyaAllah, artikel ini cuba merungkai dan membuka minda pembaca sekalian untuk menilai sejauh mana kebenaran kefahaman begini dengan kupasan-kupasan mudah selepas ini … LELA TERBILANG

No comments: