Sunday 12 February 2012

SAINS MENYELONGKAR ALAM MISTERI

Oleh
Saharil Hasril Sanin
 
BAGAIMANAKAH agaknya sains mahu menerangkan segala misteri dan insiden mistik di dalam dunia? Bagaimanakah kaedah bagi menjelaskan punca mayat yang bangkit dan bergerak tiba tiba, cahaya api yang terbang di langit seperti piring terbang, tapak kaki Bigfoot, naga Tasik Chini, dan legenda duyung?
 
Setiap kali bulan mengambang, dikatakan haiwan jadi-jadian berleluasa menyerang manusia, fenomena kontroversi ini dipanggil "efek lunar". Ada statistik menyatakan pesakit wad kecemasan hospital bertambah akibat gigitan haiwan (termasuk serigala) semasa bulan mengambang. Bagaimanakah kaedah saintifik dapat menjelaskan fenomena ini?







Bagaimanakah pula mahu menerangkan lembaga hitam yang menjelma dengan wajah yang menyeramka, sehingga  meremangkan bulu roma, keadaan lumpuh semasa tidur kerana dihimpit "hantu tindih", dan ilaian hantu, jembalang dan penunggu di rumah usang?
 
Banyak kajian yang dilakukan oleh ahli sains sejak berkurun lampau bagi menyuluh sinar dan makrifat kepada ketamadunan manusia. Namun masih terlalu banyak pula yang tidak diketahui. segala misteri dan keanehan alam itu kekal tersembunyi daripada pengetahuan kolektif manusia zaman-berzaman.
 
Make apabila penjelasan tidak ditemui, manusia secara semula jadi akan membuat andaian dan menyalahkan alam ghaib. Sekiranya mayat itu bergerak tiba-tiaa, mungkin ada makhluk halus yang menjadi dalangnya. Mungkin juga ada dosa yang mahu dibalas buat pengajaran bagi yang masih hidup. Bunyi mengilai pada waktu malam dikatakan serigala jadi-jadian atau langsuir yang mencari korban. Kilat kilau cahaya di dalam hutan dimaklumkan adalah bunian atau "hantu pelita" yang cuba menyesatkan mangsanya.
 
Sikap menuding pada alam ghaib ini adalah antara yang paling sukar dikikis dalam budaya masyarakat kita walaupun sudah dikritik sejak dahulu. Munsyi Abdullah pernah mempertikaikan kepercayaan orang Melayu pada hantu di dalam karyanya, Hikayat Abdullah lebih sekurun lepas.
 
Profesor Diraja Ungku Aziz juga pernah menulis di dalam Utusan Malaysia, edisi 3 Februari 2002, menyatakan bahawa perangai menyalahkan hantu dan perkara mistik sebagai alasan bagi insiden-insiden pelik itu menunjukkan sebuah masyarakat kolot yang mudah percaya serta tidak suka mempersoalkan, sebuah masyarakat yang tidak saintifik.
 
"Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh," tulis beliau. Lalu menyambung, "Sekiranya pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya, 'Sekiranya betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita hendak pergi tengok hantu untuk lihat apa-apa manifestasi hantu'."
 
Biasanya, segala yang disangka hantu itu hanya halusinasi atau logamaya, biasan cahaya atau kejadian semula jadi alam. Mayat yang bergerak pula adalah disebabkan kecutan otot, rigor mortis. Lembaga hitam yang merentas pandangan barangkali sekadar berpunca daripada serangga kecil yang melintas  atau lantai. Mungkin juga kerana suasana suram dan jiwa tidak tenteram, minda mudah sahaja mengaitkannya dengan jelmaan hantu.
 
Bunyi hilaian atau suara-suara yang didengar berbual dengan sayup pula selalu dikaitkan dengan deruan udara melalui liang sempit, lalu menerbitkan siulan yang berlainan nada mengikut hembus angin. Ini sering berlaku dalam binaan-binaan usang yang banyak mempunyai rongga atau dinding yang sudah tidak kukuh. Akibat, rumah-rumah lama sering dikatakan sebagai berhantu atau berpenunggu. Keadaan siul angin ini sudah dikaji di piramid-piramid purba, yang memang selalu dibina dengan rongga yang dapat mengeluarkan,"suara". Contohnya, Piramid Maya dapat mengeluarkan gaung seakan­akan kicau burung, dikaitkan dengan talunan akustik bunyi.
 
Fenomena "hantu tindih" pula wujud dalam banyak masyarakat dunia dengan nama yang berlainan;. Di,negara Barat ia dipanggil hag, df Jepun dipanggil kaneshibari, manakala di Turki.dipanggil karabasan. Hampir setiap budaya mempunyai versa hantu tindihnya sendiri,  daripada ma de di Vietnam sehinga ke ogun oru Afrika, kesemuanya melibatkan insiden yang serupa, iaitu seseorang yang, sedang tidur, tidak dapat menggerakkan tubuh seolah-olah,ditindih oleh sesutu yang besar di atasnya.
 
Penjelasan saintifik berkenaan fenomena ini dipanggil kelumpuhan tidur  yang berlaku apa bila minda terjaga di dalam tubuh yang masih dalam keadaan tidur, la sering berlaku, beberapa ketika sebelum kita benar-benar lena (dipanggil hypnagogic trance) atau beberapa jurus sebelum kita benar-benar jaga (dipanggil hypnopompic trance) dan selalunya tidak akan kekal lama. Dalam keadaan separuh celik separuh.bermimpi itu, minda menyangka ada makhluk yang sedang menindih dan mengganggu pergerakan.

Satu lagi hantu yang wujud dalam banyak budaya lain dunia ialah "hantu pelita", sejenis hantu yang dikatakan berbentuk seperti kerdip cahaya yang berlegaran terapung-apung di tengah­tengah hutan. Dikhabarkan mereka yang sesat di malam gelap dalam hutan akan menyangka kelipan pelita itu adalah manusia yang dapat membantu, lalu menjerit memanggil dan mengekornya. Namun kerdipan cahaya itu akan membawanya bertambah jauh ke dalam hutan malah semakin menyesatkannya.
 
Hantu pelita atau dipanggil dwaallicht di Belanda, gwei ho di China dan e1jacho di Sepanyol, disebabkan pelbagai sumber. la mungkin pantulan lampu kenderaan atau lampu rumah, ataupun logamaya akibat biasan cahaya di atmosfera. la mungkin juga fenomena bebola halilintar atau cahaya semula jadi yang terbit dari bumi berpunca daripada kristal kuarza dalam tanah (dipanggil efek piezoelektrik).
 
Cahaya api nekha yang terbit di Sungai Mekong Thailand pun hampir serupa manifestasinya dengan hantu pelita yang muncul terapung-apung pada permukaan Sungai Mekong. Saintis menjelaskan nekha berpunca daripada penguraian bahan-bahan organik di dasar Sungai Mekong, menghasilkan gas yang menyala akibat wujudnya elemen fosfin (fosforus trihidrat) semasa pereputan. Saintis juga berpendapat, banyak kejadian cahaya di angkasa yang selalu dikaitkan dengan piring terbang mungkin dapat dikaitkan dengan fenomena pembakaran bahan organik ini, ataupun bebola halilintar.
 
Fenomena pelik dan mistik yang berlaku dunia turun-temurun dapat ditafsirkan dan diperjelaskan dengan menggunakan kaedah saintifik sebagai insiden semula jadi alam. Kebanyakkan peristiwa yang terjadi itu adalah keadaan semula jadi tindak balas kimia, fizik, dan biologi di permukaan bumi yang tidak ada kena­ mengena dengan kehadiran apa-apa jua makhluk halus.
 
Walaubagaimanapun kita tidak boleh menjadi terlalu curiga dan tidak sekelumit pun mahu mempercayai kewujudan hantu. Sekiranya benar hantu itu tidak wujud, bagaimanakah terlalu banyak orang menjadi saksi kemunculan makhluk ghaib pada sepanjang sejarah?
 
Tidak mungkin semua orang menipu. Malah dalam al­ Quran pun disebut berkenaan alam ghaib ini, contohnya dalam surah Ab-Zariyat, ayat ke-56, yang bermaksud: "Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan bagi mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." Dalam Islam, segala interaksi manusia dengan alam ghaib bukan dengan hantu, tetapi makhluk jin.
 
Pada masa ini, sudah wujud pelbagai pakar dan pengkaji yang cuba mendalami hantu atau jin. Masing-masing cuba menggunakan kaedah sains bagi menerangkan insiden-insiden misteri dan mistik.
 
Namun banyak pula saintis yang mencemuh penggunaan alat-alat canggih bagi mengesan makhluk halus. Menurut mereka, penggunaan peranti elektronik tidak pernah terbukti langsung dapat mengesan makhluk halus. Malah tujuan penggunaannya oleh pemburu-pemburu hantu hanya bagi mengaburkan mata orang ramai bahawa perbuatan mereka itu canggih dan saintifik. Ada saintis mengatakan orang yang sekadar menggunakan kalkulator tidak boleh dilabelkan sebagai ahli maternatik. Maka orang yang sekadar menggunakan peranti-peranti canggih saintifik tidak boleh dilabel sebagai saintis.
 
Walaupun dibidas, kisah-kisah manifestasi hantu dan jin selalu sahaja kita dengar, menjadi buah mulut dan disampaikan turun-temurun, sama ada dialami sendiri atau dibuktikan melalui gambar statik, audio, ataupun video.
 
Kelemahan kaedah sains ialah harus patuh pada hukum empirik yang menyatakan bahawa sesuatu yang tidak dapat dibuktikan, tidak patut dipercayai kesahihannya. Memang banyak fenomena misteri dan mistik berjaya diterangkan menggunakan teknologi saintifik mutakhir ini. Namun sebenarnya, terlalu banyak misteri yang tidak mampu dijawab. Mungkin sains dan teologi perlu bergabung mencari jawapan dan makna segala misteri yang Tuhan sembunyikan.
 
Sesungguhnya ilmu pengetahuan itu umpama sebuah lautan yang amat luas. Namun yang dikurniakan Tuhan kepada manusia hanya setitik daripadanya. Maka tidak wajar kita memperlekehkan setiap fenomena mistik hanya kerana ia tidak boleh dibuktikan secara empirik oleh pengetahuan manusia yang kecil itu.
 
DEWAN KOSMIK JANUARI 2008
Ms 6 hingga 8

No comments: